suria

SOP Keselamatan Pegawai, Bangunan Kastam Akan Diwujudkan - Ahmad

PUTRAJAYA: Satu Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan membabitkan pegawai dan bangunan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan diwujudkan bagi meningkatkan tahap keselamatan pegawai-pegawai di jabatan itu yang kini dilihat semakin berisiko tinggi.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata perkara itu telah dibentang pada mesyuarat pengarah-pengarah Kastam se-Malaysia Mei lepas dan draf SOP itu telah diterima kementeriannya untuk diperhalusi, sebelum diluluskan.

Beliau berkata terdapat tiga perkara utama dalam draf itu, antara lain mewujudkan dua pasukan tindakan kecemasan di setiap negeri.

"Yang kedua, dalam SOP ini, ialah menyediakan satu prosedur pengendalian escort (pengawal pengiring) dan kawalan untuk menjaga pegawai tertinggi jabatan mengikut gred-gred tertentu.

"Ketiga untuk keselamatan bangunan dan kuarters, cadangannya ialah mengadakan sistem scanner (pengimbas) kepada pelawat-pelawat yang masuk terutama ke dalam bangunan ini (Putrajaya) dan bangunan tertentu lain, selain melihat kaedah keselamatan tertentu bagi kuarters," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan Kastam dan melakukan lawatan di jabatan itu, di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad.

Ahmad berkata pertemuan bersama pegawai-pegawai kanan Kastam itu turut membincangkan keperluan mewujudkan 'pasukan elit' yang diberi latihan khas seperti pasukan komando dan VAT69 bagi membantu jabatan itu dalam misi-misi tertentu.

Beliau berkata SOP berkenaan juga adalah sebagai tindakan proaktif jabatan susulan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim, April lepas yang kini masih dalam siasatan.

Ditanya mengenai pengganti Shaharuddin, beliau berkata ia dalam proses dan akan diumum dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata jabatan menyasarkan pungutan hasil cukai sebanyak RM34.43 bilion tahun ini berbanding RM32.379 bilion pada tahun lepas.

"Hasil cukai ini kemudian akan diagih untuk kesejahteraan rakyat dan dimanfaatkan melalui pelbagai program," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain