suria

Singapura Beri Amaran Ahli Politik Malaysia

PETALING JAYA: Singapura memberi amaran kepada ahli-ahli politik Malaysia supaya tidak mencampuri hal ehwal negara itu berhubung isu penahanan 21 rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi di republik berkenaan.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura berkata, gesaan Ahli Parlimen Malaysia supaya pihak keselamatan negara itu membebaskan mereka yang ditahan dilihat sebagai campur tangan asing.

Menurut kenyataan yang disiarkan di laman web kementerian itu, dinyatakan bahawa Singapura sentiasa mengambil pendirian yang tegas berhubung isu yang berkaitan campur tangan asing dan politik yang cuba di bawa masuk ke negaranya.

Tegas kementerian itu Singapura sentiasa mengambil pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara lain dan mengharapkan mendapat layanan yang sama.

Sebelum ini 21 rakyat Malaysia ditahan ketika menyertai protes di Merlion Park Singapura pada 8 dan 11 Mei berhubung keputusan pilihan raya 5 Mei lalu walaupun diberi amaran oleh pihak polis untuk tidak berbuat demikian.

Khamis minggu lalu, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur supaya meringankan hukuman terhadap 21 rakyat Malaysia berkenaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain