suria

Selatan Thai Jadi Transit Sindiket Bawa Masuk Warga Asing - Imigresen Kelantan

KOTA BAHARU: Jabatan Imigresen Kelantan mengesan ada sindiket menjadikan selatan Thailand sebagai pusat transit warga asing, sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang.

Ketua Bahagian Penguatkuasanya Abdul Basek Abu Bakar berkata perkara itu dikesan susulan operasi tiga hari melalui sekatan jalan raya di Mentara, Gua Musang pada awal tahun ini.

"Pada operasi itu sebanyak 227 pendatang tanpa izin ditangkap. Kebanyakan mereka ditahan di dalam bas ekspres untuk menuju ke destinasi masing-masing," katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Menurutnya siasatan awal mendapati pendatang terbabit yang kebanyakannya warga Myanmar, membayar sejumlah wang kepada orang tengah yang kemudian membawa mereka ke selatan Thailand.

"Pendatang asing turut dibekalkan dengan tiket bas ekspres dan akan dibawa masuk ke negara ini melalui laluan tikus yang terdapat di sempadan negara di Rantau Panjang," katanya.

Beliau berkata peranan sindiket hanya setakat itu kerana pendatang terbabit bebas ke destinasi masing-masing.

Sementara itu, Abdul Basek berkata bagi tempoh Januari lepas hingga kini, Imigresen Kelantan menahan 510 pendatang tanpa izin termasuk 227 orang yang ditahan pada operasi tiga hari berkenaan.

Penahanan terbaharu yang dilakukan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) itu ialah malam Rabu, membabitkan 21 orang, katanya.

Mereka yang meliputi 15 rakyat Indonesia dan enam Myanmar ditahan di lima kawasan di Jeli, katanya.

"Kita lakukan serbuan di tiga rumah kongsi di tapak pembinaan dan di sebuah ladang dan kilang papan. Operasi bermula 9 malam dan berakhir 4 pagi Khamis.

"Seramai 16 daripada mereka akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana masuk ke negara ini tanpa permit sah. Lima lagi ditahan di bawah Seksyen 15 (1) (c) kerana tinggal melebihi masa yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain