suria

Sambungan Laluan, Perkhidmatan Ke KLIA2 Hampir Siap - ERL

KUALA LUMPUR: Sambungan laluan dan perkhidmatan sejauh 2.2 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke terminal syarikat penerbangan kos rendah (KLIA2) kini hampir siap, kata Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) Noormah Mohd Noor.

Bercakap kepada Bernama, Noormah berkata kerja-kerja sambungan itu yang bermula pada Julai 2011, kini 98.5 peratus siap.

Katanya syarikat itu telah menguji perkhidmatan tren ke KLIA2 dan kini sedang melakukan kerja di kawasan berhimpun. KLIA2, yang disifatkan sebagai terminal syarikat penerbangan tambahan rendah terbesar Asia, kini mengalami kelewatan pembukaan, walau pun ia dilaporkan 92 siap.

Sambungan ERL yang baharu itu dijangka meningkatkan pengguna sebanyak 40 peratus.

Bagi memenuhi keperluan para penumpang, Noormah berkata ERL kini sedang berbincang dengan AirAsia bagi melihat apakah kemudahan lain yang dapat disediakan kepada para penumpang.

"AirAsia akan beroperasi dari KLIA2 dan kami perlu bekerjasama bagi menyediakan perkhidmatan berkelas dunia pada harga yang rendah," katanya.

Sebelum ini, ERL berkata para penumpang yang menuju KLIA dari KL Sentral menggunakan KLIA Express dan KLIA Transit tidak akan dikenakan kos tambahan jika mereka mahu meneruskan perjalanan ke KLIA2.

Bagaimana pun, mereka yang berulang alik antara kedua-dua terminal itu perlu membayar RM2.

Perjalanan dari KL Sentral ke KLIA2 memakan masa 33 minit menggunakan tren berkelajuan tinggi itu dan 39 minit menggunakan perkhidmatan komuter.

Stesen ERL di KLIA2 akan ditempatkan di dalam kompleks bersepadu terminal itu dan termasuk, antara lain platform sepanjang 230 meter, eskalator, pintu masuk dan keluar dan kawasan berkumpul dengan penyediaan kemudahan membeli tiket dan pejabat operasi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain