suria

Empat Penuntut Ditahan Ketika Lerai Komponen Motosikal Curi

KUANTAN: Polis menahan empat penuntut kolej swasta yang disyaki anggota sindiket mencuri motosikal di sebuah rumah di Kampung Sungai Karang, di sini malam Rabu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang Supt Mohd Haris Daud berkata dalam serbuan jam 8.30 malam itu keempat-empat suspek yang berusia dalam lingkungan 19 dan 20 tahun itu sedang leka meleraikan komponen sebuah motosikal di Putra Square di sini.

"Kami percaya dengan penangkapan empat suspek terbabit, kami dapat menyelesaikan beberapa lagi kes motosikal yang dilapor hilang baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata pihaknya turut menerima laporan kehilangan sebuah kereta dan tiga motosikal yang diletakkan di perkarangan Stadium Darul Makmur pada malam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2013 Pahang dan Johor Darul Takzim dibatalkan, Selasa lepas.

Terdahulu katanya, laporan dibuat seorang lelaki berusia 28 tahun dari Pekan pada 11.15 malam selepas menyedari kereta jenis Proton Saga miliknya hilang sebelum disususli tiga lagi laporan melibatkan motosikal hilang di lokasi sama.

Mohd Haris berkata polis masih menjalankan siasatan kes-kes berkenaan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain