suria

Dua Pelajar Lelaki Dilaporkan Hilang Di Pekan

KUANTAN: Dua pelajar lelaki dilaporkan hilang sejak Ahad lepas selepas keluar dari rumah masing-masing di Kampung Permatang Cengkeroh, di Pekan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Mohd Haris Daud berkata pelajar terbabit, Abdul Razak Abdullah, 12 dan Aminuddin Ismail, 13, dipercayai bersahabat.

"Menurut laporan yang dibuat keluarga mereka, kedua-dua pelajar terbabit meminta izin untuk keluar dari rumah.

"Abdul Razak dipercayai keluar rumah kira-kira 9 pagi dengan memberi alasan hendak melihat orang menyembelih lembu manakala Aminuddin keluar pada 8 pagi dengan memaklumkan keluarga, beliau mahu ke bandar Rompin," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata kedua-dua keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Selasa lepas setelah mendapati pelajar terbabit tidak pulang.

Katanya sehingga kini, kedua-dua pelajar itu masih belum ditemui dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta melapor kepada pihak polis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain