suria

Buruh Ditahan Bersama Heroin Bernilai RM836,850

KUANTAN: Polis memberkas seorang pengedar dadah bersama dadah jenis heroin seberat 4,184.25 gram bernilai kira-kira RM836,850 di Jalan Sungai Lembing, Taman Kampung Perdana di sini, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaluddin Abd Majid berkata ketika ditahan pada pukul 1.30 pagi, lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan di dalam sebuah kereta di tepi lorong sebuah rumah di jalan terbabit.

Katanya dadah untuk kegunaan 83,685 penagih itu ditemui disorok di bawah tempat duduk bahagian pemandu kereta Perodua Viva berkenaan.

"Dalam serbuan itu suspek pada mulanya enggan bekerjasama dengan polis dan bertindak agresif apabila diarahkan membuka pintu kereta.

"Polis terpaksa mengetuk cermin hadapan kereta berkenaan dan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis sebelum dia ditahan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Jamaluddin berkata polis juga merampas kereta tersebut dan sebuah telefon bimbit jenis Nokia.

"Kita percaya suspek aktif mengedar dadah di sini sejak awal tahun ini dengan mendapatkan bekalan dadah dari negeri jiran," katanya.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain