suria

Tumpuan Exco Baru Selangor

KLANG: Upacara mengangkat sumpah barisan exco Selangor yang baru akan diadakan dalam masa kurang 24 jam, namun Pakatan Rakyat masih belum memuktamadkan senarai berkenaan, demikian menurut sumber.

Hingga kini, aktiviti melobi masih berlaku, kata sumber dalaman Pakatan Rakyat yang enggan di namakan.

Beliau mendakwa terdapat dua senarai nama berbeza disediakan dan dikemukakan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dipertimbangkan.

Upacara mengangkat sumpah dijadual diadakan esok di Istana Alam Shah.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengesahkan bahawa senarai akhir 10 ahli exco masih belum diputuskan dan ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat iaitu PKR, PAS dan DAP masih mengadakan perbincangan.

"Tetapi pastinya kita akan bersedia sebelum majlis angkat sumpah itu nanti," katanya ketika dihubungi.

Menyamakan proses pemilihan itu seperti sebuah pasukan bola sepak, Teng berkata Sultan telah bersetuju dengan 'skuad yang terdiri daripada pemain utama dan pemain gantian".

"Sekarang kita sedang berbincang mengenai siapa yang akan berada dalam senarai 10 terakhir. Apabila pemain mara ke padang, anda akan tahu siapa mereka," kata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu.

Berdasarkan senarai barisan exco sebelum ini, DAP dan PAS masing-masing mempunyai tiga wakil sementara PKR diwakili empat exco.

Kali ini PKR mungkin hanya akan diwakili oleh tiga wakil sahaja namun tidak dapat dipastikan sama ada DAP atau PAS akan mendapat kerusi exco tambahan.

DAP mengumumkan cadangan nama dua wakil iaitu Teng (Sungai Pinang) dan Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan).

Difahamkan juga antara nama lain yang dinamakan sebagai wakil DAP ialah Lau Weng San (Kampung Tunku), Ng Suee Lim (Sekinchan), Hannah Yeoh (Subang Jaya) dan V. Ganabatirao (Kota Alam Shah).

Bekas exco Selangor, Teresa Kok tidak bertanding di kerusi DUN manakala Ronnie Liu digugurkan pada PRU yang lalu menjadikan hanya Ean Yong sebagai satu-satunya bekas exco yang 'terselamat' daripada pasukan lama.

Ean Yong dijangka akan terus memegang portfolio Jawatankuasa Perumahan dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor manakala Teng berkemungkinan mengambil alih portfolio Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan yang dipegang Liu sebelum ini.

Sementara itu sumber PKR pula memaklumkan bahawa parti itu mencalonkan Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Shuhaimi Shafiei (Sri Muda), Haniza Talha (Taman Medan), Rodziah Ismail (Batu Tiga) dan Dr Xavier Jayakumar (Sri Andalas) untuk dipertimbangkan ke jawatan exco.

Bagi PAS difahamkan parti mencalonkan Pesuruhjaya Selangor, Dr Rani Osman dan tiga bekas exco iaitu Iskandar Samad (Cempaka), Dr Halimah Ali (Selat Kelang) dan Dr Yunus Hairi (Sijangkang) serta Sallehen Mukhyi (Sabak).

Selain itu terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa bekas calon PKR bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam, Dr Abdul Aziz Bari akan dibawa masuk sebagai Speaker.

"Beliau adalah seorang profesor undang-undang yang sangat berpengetahuan. Beliau akan menjadi seorang Speaker yang hebat," kata seorang sumber PAS.

Artikel Lain