suria

Kes Saman Kugan: Mahkamah Beri Keputusan Pada 19 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Jun ini untuk keputusan kes saman kecuaian yang difailkan oleh ibu A.Kugan, suspek yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 2009.

Hakim Datuk V.T. Singham menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar penghujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan peguam R.Sivarasa, yang mewakili ibu Kugan, N. Indra.

Pada 13 Januari tahun lepas, N. Indra memfailkan saman menuntut ganti rugi RM100 juta dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang ketika itu Ketua Polis Selangor sebagai defendan pertama.

Bekas anggota polis, V. Navindran (yang didapati bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan) sebagai defendan kedua diikuti bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Azizan, yang mewakili pihak defendan, mengemukakan bahawa selepas penyiasatan, terdapat hubungan antara Navindran dan punca kecederaan kepada si mati.

"Dalam perbicaraan itu, ia menunjukkan Navindran datang ke balai polis di mana si mati ditahan dan menyebabkan kecederaan. Dua anggota polis, Lans Koperal Mohd Haizan Hamid dan Lans Koperal Junid Haron kemudian menghentikan Navindran daripada terus memukul si mati.

"Navindran didakwa di mahkamah dan didapati bersalah berdasarkan keterangan Mohd Haizan dan Junid. Oleh itu, kami mengemukakan bahawa keputusan untuk mendakwa Navindran jelas menunjukkan dia tidak menjalankan tugas rasminya sebagai pegawai polis tetapi bertindak secara bermain-main," katanya.

Beliau juga berkata Navindran telah hanya menafikan bahawa dia adalah orang yang menyebabkan kecederaan tanpa apa-apa sokongan, menyalahkan orang lain kerana memilih dia sebagai 'kambing hitam' dan bukannya mencabar bukti yang dikemukakan oleh orang lain.

Peguam Sivarasa berhujah bahawa Indra telah kehilangan sokongan dan sumbangan kewangan bulanan selepas Kugan meninggal dunia.

Ketika ditahan, Kugan berusia 23 tahun dan adalah suspek kes curi kereta mewah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Januari 2009. - BERNAMA

Artikel Lain