suria

Dua Bekas Adun Perak Bebas Tiga Pertuduhan Rasuah

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini melepas serta membebaskan dua bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek perumahan RM180 juta di Seri Iskandar, lima tahun lepas.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Adun Changkat Jering Kapten (B) Mohd Osman Jailu, 62, dan Adun Bota Kapten (B) Usaili Alias, 61, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sejurus selepas keputusan itu diumumkan, kedua-dua tertuduh kelihatan menarik nafas lega sebelum mengalirkan air mata dan memeluk anggota keluarga masing-masing.

Mohd Osman dan Usaili didakwa menerima wang berjumlah RM105,000 dan meminta RM100,000 daripada Mohamad Imran di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Hotel Summit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 16 Ogos 2008 serta di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya pada 19 Ogos 2008.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa manakala Mohd Osman diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid dan Usaili oleh Surjan Singh.

Mohd Osman ketika ditemui pemberita berkata kini kebenaran telah terbukti setelah hampir lima tahun kes ini dibicarakan oleh mahkamah.

"Saya bersyukur dan gembira dengan keputusan ini. (Perjalanan politik) saya tidak terjejas cuma tempoh perjalanan (kes) terlalu lama," katanya.

Usaili pula berkata beliau rasa agak tertekan dengan kes ini.

"Patutnya saya boleh bertanding dalam pilihan raya, insya-Allah saya akan teruskan dalam bidang politik ini," katanya yang bersyukur dan lega dengan keputusan mahkamah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan politik.

Pada 5 Februari lepas, Mahkamah Rayuan membebaskan bekas Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi 57, bekas Anggota Majlis Daerah Perak Tengah Zul Hassan, 51, dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 35, daripada 10 pertuduhan menerima serta meminta rasuah berhubung projek perumahan itu. - BERNAMA

Artikel Lain