suria

SPR Disaran Letak Gambar Dalam Daftar Pemilih

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran meletakkan gambar dalam daftar pemilih bagi mengelak salah guna kad pengenalan oleh individu tidak bertanggungjawab pada hari mengundi.

Bagaimanapun, Setiausaha Pendaftaran Pemilih SPR Yusniati Ishak memaklumkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang tanpa izin di Sabah, saranan itu memerlukan kajian bagi memastikan ia bermanfaat kepada SPR.

Disoal pegawai pengendali Manoj Kurup mengapa langkah itu tidak dilaksana sebelum ini, beliau berkata SPR tidak pernah meminta gambar sebagai satu daripada syarat untuk mendaftar sebagai pemilih.

Pada prosiding di depan panel lima anggota yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Yusniati berkata jumlah pemilih meningkat secara mendadak sejak 1982.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti jika SPR ada membuat kajian berhubung peningkatan itu. Berdasarkan data SPR pada 1982, terdapat 350,609 pemilih berdaftar di Sabah, iaitu meningkat 149,748 sejak 1978, yang merekodkan 208,861 pemilih berdaftar, katanya.

Yusniati juga berkata jumlah pemilih berdaftar di Sabah meningkat kepada sejumlah 959,669 pada Ogos tahun lepas. Sementara itu, Pengarah Imigresen Sarawak Datuk Robert Lian memaklumkan RCI bahawa pegawai imigresen di semua 31 pintu masuk ke Sabah melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab dan beliau tidak pernah menerima laporan berhubung kemasukan tidak sah.

"Selalunya, mereka (individu yang keluar atau masuk Sarawak) tampil di depan pegawai imigresen. Ini adalah undang-undang," katanya.

Panel RCI turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping. -BERNAMA

Artikel Lain