suria

Pindaan Akta 502 CIDB Menjaga Kepentingan Pengguna

BUTTERWORTH: Pindaan Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan memberi penekanan kepada hak pemilik kediaman dan bangunan selain menjaga kepentingan mereka berhubung kualiti dan proses pembinaan sesebuah rumah dan bangunan.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan CIDB Abdul Razak Husin berkata kesedaran pengguna berhubung hak-hak dan pengetahuan dalam bidang pembinaan termasuk aspek kualiti masih rendah.

"Akta ini menekankan kepada hak pengguna, menjaga kepentingan pengguna supaya mereka dapat hasil...Sebelum ni pengguna hanya pandai membuat aduan tetapi mereka tak tahu tentang hak-hak mereka dalam pembinaan sesuatu bangunan itu.

"Pengetahuan mereka tentang hasil kerja pembinaan termasuk bahan-bahan yang digunakan juga masih rendah. Kesedaran mereka masih rendah, mereka hanya tahu membuat aduan selepas mendapati kediaman mereka ada masalah," katanya kepada pemberita selepas pembentangan kertas bertajuk Pematuhan Akta 502 CIDB, di sini Selasa.

Turut hadir Pengarah CIDB Pulau Pinang Ir Raslim Salleh. Sebanyak 40 peserta daripada pelbagai agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang menyertai majlis itu.

Abdul Razak berkata pindaan akta itu juga turut meliputi tiga perkara utama iaitu peningkatan hasil kerja pembinaan melalui kawalan kontraktor yang lebih profesional, pekerja binaan yang terdiri daripada pekerja-pekerja mahir yang diiktiraf CIDB dan bahan binaan terkawal.

Beliau berkata sebanyak 16 bahan asas binaan termasuk besi, simen, kaca dan jubin lantai akan dikawal selepas pindaan akta ini digazet pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Kita akan kawal bahan binaan ini dari pintu masuk, iaitu tiada pengimportan untuk bahan yang tidak berkualiti. Di pintu masuk lagi kita dah tak benarkan bahan-bahan yang tidak berkualiti ini masuk ke dalam negara. "Selepas akta ini dikuatkuasa, tidak ada lagi (bahan binaan tidak berkualiti) dibawa masuk, tak akan dikeluarkan. Kita juga telah dapat persetujuan daripada persatuan pengilang untuk patuh kepada 16 jenis bahan ini mengikut standard yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata kawalan terhadap bahan-bahan asas binaan ini penting bagi memastikan aspek kualiti dan keselamatan sesebuah binaan itu terjamin.

Katanya, di bawah pindaan akta ini hukuman yang lebih berat iaitu denda RM500,000 dan penarikan lesen akan dikenakan terhadap kontraktor yang gagal mematuhi piawaian yang telah ditetapkan. -BERNAMA

Artikel Lain