suria

Pekerja Indonesia Maut Jatuh Bangunan

MELAKA: Seorang pekerja warga asing maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 36 di tapak pembinaan pangsapuri dan hotel di Jalan Bunga Raya di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Suprapto, 32, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian badan dan kepala selepas terjatuh.

Katanya, mangsa yang berasal dari Trenggalek, Jawa Timur, ketika itu sedang membuat kerja-kerja pembinaan di bahagian lif bangunan pangsapuri berkenaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Isa Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 10.08 pagi kemudian bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, terdapat besi kerangka di atas badan mangsa yang jatuh dalam keadaan terlentang.

Kaki dan tangan mangsa didapati patah, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain