suria

LSS Akan Jalankan Siasatan Penuh Tragedi Bot Karam di Belaga

KUCHING: Lembaga Sungai Sarawak (LSS) akan menjalankan siasatan penuh kemalangan tragik pada Selasa membabitkan bot ekspres yang karam di Sungai Rajang, dengan 21 penumpang masih hilang, kata Pengerusinya Datuk Roland Sagah.

Beliau berkata LSS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha bot ekspres yang tidak mematuhi nasihat agar tidak melebihi kapasiti atau membenarkan penumpang memanjat bumbung apabila bot itu telah terlalu padat ketika menyusuri sungai itu.

"Saya melahirkan perasaan sedih atas apa yang berlaku dan bersimpati dengan mereka yang terlibat dalam kejadian bot karam ini," kata Sagah, yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak kepada Bernama di sini.

Sehingga kini 181 penumpang berjaya berenang menyelamatkan diri selepas bot malang itu karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan menghilir sungai dari Sibu.

Beliau berkata siasatan awal LSS mendapati bot ekspres itu yang dipercayai terlebih muatan membawa kira-kira 200 penumpang untuk pulang menyambut Hari Gawai, mengalami kerosakan enjin sebelum menghempas batu dan tenggelam. Mengenai gesaan pelbagai pihak meminta anggota LSS ditempatkan di beberapa kawasan pedalaman termasuk Bakun dan Belaga untuk memantau keadaan sebelum perayaan utama, Sagah berkata ia sedang menunggu kelulusan untuk menubuhkan pejabat di dua lokasi itu, yang boleh diakses melalui sungai Rajang.

Beliau berkata pengusaha telah dinasihatkan menyediakan jaket keselamatan yang mencukupi untuk penumpang kerana ia adalah kemestian bagi mereka memakai jaket keselamatan di dalam bot terbuka.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani apabila dihubungi berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya bot itu terlebih muatan, melebihi jumlah yang dibenarkan iaitu 67 penumpang duduk.

Beliau berkata identiti mereka yang hilang masih samar kerana belum ada jumlah rasmi penumpang memandangkan pengendali bot ekspres itu dipercayai tidak menyimpan senarai penumpang. -BERNAMA

Artikel Lain