suria

Lelaki Myanmar Rampas Pistol Polis Dan Lepaskan Tembakan Didapati Waras

GEORGE TOWN: Lelaki Myanmar yang merampas pistol anggota polis dan melepaskan tiga das tembakan di Balai Polis Chai Leng Park di sini, awal pagi Isnin, didapati waras dan tidak dipengaruhi alkohol atau dadah ketika kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia 33 tahun itu kini ditahan reman empat hari dan siasatan awal mendapati dia bertindak sedemikian kerana hilang kawalan diri akibat marah.

"Lelaki yang tiada sebarang dokumen perjalanan itu bertindak mencekik anggota polis dan merampas pistol sebelum melepaskan tembakan dipercayai kerana tekanan dan hilang kawalan diri," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Dalam kejadian 1.30 pagi semalam, lelaki terbabit memasuki balai polis berkenaan untuk membuat laporan kononnya ada orang ingin memukulnya dalam pergaduhan di Taman Inderawasih di sini.

Suspek tiba-tiba merampas pistol jenis P99 daripada anggota di balai itu selepas terdengar perbualan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis yang diminta menyiasat dakwaan lelaki terbabit, dan memaklumkan melalui telefon tiada pergaduhan berlaku di kawasan itu.

Bagaimanapun, anggota polis terbabit berjaya melarikan diri dan lelaki itu yang hanya berkain pelikat dengan kemeja T dan berkaki ayam ditangkap dua anggota URB yang tiba di balai itu. -BERNAMA

Artikel Lain