suria

Lelaki Cedera Parah Ditembak Sekumpulan Lelaki

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang baru pulang dari majlis pengkebumian bapa saudaranya cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan Batu Gantung, di sini Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Ismail Toh Paduka Idris berkata dalam kejadian pada pukul 3.45 petang itu, mangsa G.Suresh, 23, dan adiknya Mukuntan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Ladang Hong Seng, di sini.

"Mangsa membonceng motosikal yang ditunggang adiknya...dan tidak jauh dari kawasan perkuburan berkenaan mereka menyedari diekori dua buah motosikal. "Dua buah motosikal yang dinaiki empat lelaki terbabit menghampiri mangsa dan terus menyerang menggunakan parang dan pisau," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Katanya Mukuntan berjaya melarikan diri manakala abangnya cedera parah akibat diserang kumpulan lelaki berkenaan.

Ismail berkata empat lelaki terbabit melarikan diri dan meninggalkan Suresh di tepi jalan sebelum mangsa dibantu orang awam.

"Suresh ditetak di beberapa bahagian badan termasuk kepala. Keadaannya kritikal dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata usaha mengesan empat lelaki berkenaan sedang giat dijalankan. -BERNAMA

Artikel Lain