suria

Jangan Salah Guna Rangkaian Komunikasi - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyarankan bentuk komunikasi yang jujur dan adil dengan menegaskan bahawa tiada siapa yang harus menyalahgunakan rangkaian telekomunikasi untuk membolehkan akses yang mudah.

Beliau berkata mod komunikasi telah berkembang dalam pelbagai cara yang membolehkan maklumat dapat disampaikan kepada pengguna melalui pelbagai kaedah termasuk suara, media cetak dan gelombang udara.

"Akses kepada maklumat adalah penting bagi anak-anak kita mendapatkan pendidikan baik serta merangsang inovasi di kalangan individu dan juga perniagaan.

"Ini adalah dua langkah penting yang diperlukan untuk mengubah ekonomi Malaysia supaya negara menjadi pemain berjaya dalam ekonomi pengetahuan global di abad ke-21," katanya pada jamuan Anugerah Jenama Yang Dipercayai Reader's Digest di sini malam Selasa.

Ahmad Shabery berkata kualiti komunikasi adalah penting bagi daya saing negara dan kerajaan telah melaksanakan inisiatif bagi memperluaskan rangkaian komunikasi bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses di mana jua.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia telah mengalami bebanan maklumat bukan sahaja fakta atau penggunaan pendidikan sahaja tetapi juga penuh dengan khabar angin yang tidak berasas dan kenyataan palsu.

Dalam menangani isu itu, beliau berkata negara-negara di seluruh dunia telah menggalakkan peraturan kendiri dan di sini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah menggalakkan penggunaan internet secara positif menerusi kempen 'Klik Dengan Bijak'.

"Kita mesti meningkatkan tahap tanggungjawab dan objektif untuk memenuhi cabaran Zaman Maklumat ini," katanya. Mengenai majlis anugerah itu, Ahmad Shabery berkata jenama yang diberi penghormatan itu telah mendapat kepercayaan tinggi oleh pengguna dan telah diktiraf sebagai pemimpin dalam industri masing-masing.

"Ini adalah satu pencapaian yang besar tetapi kejayaan ini turut membawa bersama tanggungjawab yang penting," katanya. Beliau mengingatkan syarikat-syarikat supaya menunaikan janji mereka kepada pengguna dan selalu mengotakan jaminan produk berkualiti. Sejumlah 107 jenama diiktiraf sebagai pemenang menerusi kajian tahunan Reader's Digest termasuk 16 label Anugerah Platinum (ranking tertinggi) dan 91 jenama menerima Anugerah Emas.

Sebanyak 22 jenama produk buatan Malaysia berjaya memenangi anugerah Jenama Yang Dipercayai dalam pelbagai kategori termasuk Maybank, CIMB, Telekom Malaysia, Maxis dan PosLaju.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Reader's Digest Asia Pasifik, Walter Beyleveldt dan Editor Reader's Digest Asia, Siti Rohani. -BERNAMA

Artikel Lain