suria

Dr Subra Bakal Cabar Palanivel Untuk Jawatan Tertinggi MIC

G. Palanivel (kiri) dan Dr S. Subramaniam.
G. Palanivel (kiri) dan Dr S. Subramaniam.
G. Palanivel (kiri) dan Dr S. Subramaniam.

KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira 20 tahun "tiada pertandingan' bagi jawatan presiden MIC, penyandang Datuk Seri G. Palanivel dijangka menghadapi cabaran sukar untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang dijadual dalam tempoh lapan atau sembilan bulan lagi.

Kali terakhir parti berusia 67 tahun tersebut mengadakan pemilihan jawatan presiden ialah pada 1993, apabila Presiden MIC ketika itu Datuk Seri S. Samy Vellu dicabar S. Subramaniam yang lebih dikenali sebagai 'Jumbo Maniam'. Samy Vellu bagaimanapun menang.

Seorang veteran MIC yang tidak mahu identitinya didedahkan, berkata Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilihat merancang untuk menandingi jawatan itu.

Dikenali sebagai Dr Subra dalam kalangan anggota MIC, beliau mempunyai masa yang suntuk bagi meraih sokongan pengerusi cawangan kerana pada masa yang sama perlu melaksanakan tugas barunya sebagai Menteri Kesihatan.

Beliau baru-baru ini membayangkan hasratnya untuk menandingi jawatan itu kepada Samy Vellu bagi mendapat restu bekas pemimpin MIC berkenaan.

"Beliau (Samy Vellu) telah beri lampu hijau," kata sumber itu kepada Bernama sambil menyatakan hasrat Dr Subramaniam selari dengan perlembagaan parti yang demokratik.

Sebagai pemimpin paling lama dalam MIC sehinggalah beliau melepaskan jawatan itu pada 2010, Samy Vellu dikatakan asih "mengawal" lebih 45 peratus daripada 3,700 pengerusi cawangan yang bertanggungjawab memilih memilih presiden baru.

Dr Subramaniam, 60, merupakan pakar dermatologi dan menjadi Anggota Parlimen Segamat sejak 2004. Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2004 hingga 2008 sebelum dilantik Menteri Sumber Manusia selepas pilihan raya umum ke-12.

Palanivel, 64 merupakan bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia dan pernah menjadi pembantu Samy Vellu pada satu ketika.

Kali terakhir pemilihan presiden diadakan ialah pada Mac 2009 untuk penggal selama tiga tahun dan Samy Vellu menang tanpa ditandingi.

Samy Vellu menyerahkan jawatan berkenaan kepada Palanivel yang merupakan Timbalannya pada masa itu.

Pemilihan MIC pada semua peringkat akan diadakan pada suku pertama tahun depan, demikian putus jawatankuasa kerja pusat (CWC) baru-baru ini.

Pemilihan presiden akan diadakan tiga bulan sebelum pemilihan untuk jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC.

Memandangkan Dr Subramaniam sudah menyatakan hasrat untuk menandingi jawatan presiden, soalan seterusnya ialah siapa yang mahu mengisi kerusi timbalan presiden.

Sumber dalaman memberitahu Bernama, Naib Presiden Datuk M. Saravanan dilihat berminat untuk menandingi jawatan nombor dua parti itu dan dipercayai mengadakan perbincangan dengan Palanivel serta Dr Subramaniam bagi menentukan dengan siapa beliau patut bekerjasama.

Saravanan yang dikenali sebagai pemimpin muda dan berkebolehan, mahu memanfaatkan gelombang kebangkitan generasi teknologi baharu dalam kepimpinan MIC.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu dipercayai tidak akan menghadapi masalah mendapat restu Samy Vellu memandangkan beliau penyokong setia bekas pemimpin berusia 77 tahun terbabit yang jelas masih berpengaruh dalam parti. - BERNAMA

Artikel Lain