suria

Prestasi Buruk Komponen Tidak Wajarkan BN Jadi Parti Tunggal - Presiden LDP

KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk VK Liew berpendapat prestasi buruk beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 tidak mewajarkan bagi BN dijadikan sebagai parti tunggal.

Beliau berkata, sebaliknya semua parti komponen BN bersatu atas hakikat setiap parti mempunyai ciri dan kelebihan tersendiri.

Memberikan contoh latar belakang BN untuk menyokong pandangannya itu, Liew berkata: "Kita sorot semula bagaimana BN dibentuk pada awal 1970-an untuk menggantikan Perikatan ketika itu, kita tahu setiap parti komponen beroperasi untuk iltizam dan tujuan bersama, sebagai parti tersendiri yang keanggotaannya mengikut kaum.

"Dalam erti kata sebenar, setiap parti komponen mewakili kepentingan kaum atau masyarakat tertentu di Malaysia. Bagaimanapun, BN hanya berperanan sebagai satu parti semasa pilihan raya dengan semua calon parti komponen bertanding menggunakan lambang BN dan berkempen di bawah manifesto BN walaupun setiap parti komponen turut mengeluarkan manifesto sendiri.

"Kejayaan setiap parti kemudian diukur daripada segi keupayaan untuk memenuhi tuntutan penduduk di kawasan masing-masing dan berapa banyak kawasan dimenangi mereka pada pilihan raya umum," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Liew diminta mengulas cadangan Gerakan baru-baru ini supaya BN dijadikan sebagai parti tunggal mewakili pelbagai kaum.

"Kita jangan lupa akan kerelevanan sesetengah perwakilan kaum dalam sebuah negara majmuk kerana kita (LDP) dilihat masih amat penting. Dan sebuah kerajaan yang mempunyai perwakilan daripada pelbagai kaum, dalam masyarakat majmuk adalah lebih efektif daripada sebuah kerajaan yang didominasi oleh satu komuniti.

"Negara kita tidak seperti negara lain yang didominasi satu bangsa dan golongan minoriti dipinggirkan yang menyebabkan timbul konflik apabila kepentingan mereka diabaikan. Kita, sebagai sebuah negara dengan mempunyai banyak kaum etnik, telah mengalami perubahan sejak kemerdekaan dan kepentingan sesetengah kaum dijaga oleh parti komponen masing-masing," katanya.

Liew berkata, BN sebagai parti tunggal mungkin akan mewujudkan perpecahan dalam kerajaan yang mungkin akan membawa pertikaian khususnya dalam isu membabitkan kepentingan minoriti atau kaum tertentu di negara.

"Tidak ada ruang di tengah-tengah kerana isu kaum sebaiknya dikendalikan kaum masing-masing. Tidak dinafikan, dalam setiap sistem parti-parti politik, ada baik dan buruknya".

Liew berkata, walaupun wujud isu dalam gabungan dan ada sesetengah rakan kongsi berasa dipinggirkan tetapi perkara itu dapat diselesaikan tanpa perlu objektif BN dikompromi.

"Bagi saya, isu paling penting bagi BN sekarang ialah melihat semula seluruh objektifnya, secara holistik, dan menambah baik sistem sedia ada untuk menjadikannya lebih relevan, lebih efektif dan lebih dinamik untuk masa depan negara yang amat kita cintai, dan untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang dan etnik yang kita amat sayangi.

"Saya percaya kita boleh makmur dan maju bersama-sama dan tiada gunung yang terlalu tinggi yang tidak mampu kita daki. Kita tidak berada dalam keadaan perpecahan politik yang teruk sepertimana dianggap. Kita ditakdirkan untuk bersatu dan bukannya berpecah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain