suria

Pekerja Bangladesh Tiba Jun Ini

NEW DELHI: Selepas agak lama tertangguh, pekerja dari Bangladesh akhirnya dijadual tiba ke Malaysia secara berperingkat mulai minggu kedua Jun, kata Biro Tenaga Manusia, Pekerjaan dan Latihan (BMET).

Dhaka Tribune melaporkan bahawa keputusan itu dibuat selepas wakil buruh Bangladesh di Malaysia mengadakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia pada 23 Mei.

Laporan itu menyebut bahawa penghantaran pekerja tertangguh disebabkan pilihan raya umum di Malaysia.

Delegasi empat anggota diketuai Ketua Pengarah BMET Begum Shamsun Nahar akan berlepas dari Dhaka hari ini untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa teknikal bersama yang dijadual 28 Mei di Malaysia.

"Kami akan membincangkan perkara-perkara berkaitan teknikal dan bagaimana untuk mempercepatkan proses migrasi ke Melaysia," kata Nahar.

Beliau berkata Malaysia bercadang mengambil 30,000 pekerja Bangladesh untuk sektor peladangannya di bawah perjanjian antara kerajaan kedua negara.

Kerajaan Bangladesh telah memilih sekumpulan 10,000 pekerja secara rawak daripada pangkalan data yang diwujudkan melalui proses pendaftaran secara dalam talian yang dibuat di seluruh negara.

Kerajaan menandatangani MoU dengan Malaysia pada 26 Nov tahun lepas, bersetuju untuk menghantar pekerja dengan kos perpindahan yang rendah. Seorang pekerja kini memerlukan Tk33,000 (RM1,236) untuk ke Malaysia berbanding sebelum ini apabila agensi pengambilan swasta mengenakan bayaran lebih Tk200,000 (RM7,492) untuk perkhidmatan yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain