suria

Lelaki Maut Ditembak Dalam Pergaduhan Di Kedai Makan

KLANG: Seorang lelaki mati ditembak manakala rakannya cedera parah apabila diserang sekumpulan lelaki di sebuah kedai makan di Batu 6, Jalan Meru, awal Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supt Jani Ahmad berkata, kejadian kira-kira 1 pagi itu bermula ketika si mati yang dikenali sebagai B. Santanam, 28, bersama rakannya sedang minum bersama 18 lagi lelaki sebelum didatangi sekumpulan lelaki lain di kedai makan itu.

"Ketika mangsa (si mati) sedang minum bersama rakannya-rakannya, mereka dihampiri 10 lelaki yang bersenjatakan parang dan pistol.

"Berlaku perang mulut antara dua kumpulan ini sehingga menyebabkan seorang daripada suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah mangsa (si mati) dan tembakan itu kena pada rusuk kirinya.

"Rakan mangsa yang berusia lingkungan 20-an turut cedera apabila telinga kanannya hampir putus akibat ditetak dengan parang dalam pergaduhan itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian pada Isnin.

Kumpulan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu kemudian melarikan diri menaiki beberapa kenderaan manakala Santanam dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba.

"Polis hanya mengetahui kejadian ini selepas isteri si mati membuat laporan polis mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 pagi ini," kata Jani.

Beliau berkata, polis menemui enam bilah parang yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu selain sebuah kereta jenis Proton Wira yang belum dikenal pasti pemiliknya.

"Mengikut siasatan awal, si mati turut memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes pergaduhan selain dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan motif kejadian ini berkaitan dengan dendam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain