suria

Polis Akan Rekod Kenyataan Isteri Tahanan Yang Mati

KUALA LUMPUR: Polis meminta isteri N. Dharmendran yang meninggal dunia dalam tahanan pada Selasa lalu untuk memberi kenyataan di Bukit Aman pada Isnin.

Marry Mariay Susay, 26, membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Ahad mengenai kematian suaminya, dengan mendakwa suaminya dipukul sehingga mati ketika dalam tahanan.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.

Dharmendran, 32, meninggal dunia selepas ditahan di ibu pejabat polis Kuala Lumpur berikutan satu kejadian tembakan di Bandar Tun Razak pada 11 Mei.

Kematian Dharmendran diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas keluarganya mempertikaikan kenyataan polis mengenai kematiannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, Dharmendran pernah mengadu sakit dada pada kira-kira pukul 9 malam pada Selasa dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Dia meninggal dunia setibanya di hospital.

Peguam, N. Surendran berkara, polis perlu melancarkan siasatan penuh berhubung dakwaan pembunuhan itu dan menahan mereka yang bertanggungjawab.

“Tiada pertikaian bahawa dia berada dalam tahanan polis ketika dia meninggal dunia,” kata Surendran, yang juga merupakan naib presiden PKR.

Artikel Lain