suria

BN Selangor Perlu Atur Strategi Hadapi PRU-14 Dari Sekarang - Noh Omar

TANJONG KARANG: Barisan Nasional (BN) Selangor perlu mengatur strategi mulai sekarang dalam usaha parti gabungan itu untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 termasuk menyusun semula kepimpinan di peringkat negeri, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar. Beliau berkata BN Selangor perlu mempunyai hanya seorang ketua untuk mengurus dan mentadbir politik di negeri itu termasuk mengeluarkan arahan kepada pimpinan lain. "Kalau ada dua atau tiga kepala sukar untuk keluarkan arahan, jadi kena lantik seorang sahaja ketua untuk berikan arahan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Program Integrasi Ilmu dan Budaya Pembangunan Masyarakat Nelayan anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kampung Parit 3, Sungai Burung di sini Sabtu.

Selain itu, katanya perpaduan dalam kalangan pimpinan BN negeri juga perlu dipertingkatkan dalam memastikan parti gabungan itu mendapat kepercayaan daripada penyokong dan penduduk Selangor.

"Kita perlu akui kelemahan dan masalah dalaman parti antara punca kekalahan BN di Selangor, jadi untuk hadapi PRU akan datang kita kena sedia mulai sekarang," katanya. Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang berkata beliau turut bersedia sekiranya pimpinan tertinggi parti BN mahu muka baharu menerajui BN Selangor dan berjanji akan memberikan sokongan penuh kepada siapa juga yang dipilih.

"Kalau saya dipertanggungjawabkan, saya akan meneruskannya...siapapun bukannya masalah. Pemimpin datang dan pergi yang penting ialah perjuangan parti perlu diteruskan.

"Saya tidak penting, saya boleh jadi imam dan boleh jadi makmum, apapun terpulang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN di Selangor," katanya. Mengenai ketua pembangkang di negeri itu, Noh berkata perkara itu juga diserahkan kepada Najib.

Pada PRU-13 lepas, BN memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lima daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor. -BERNAMA

Artikel Lain