suria

Azmin Sokong Ahli PKR Berpotensi Diserap Dalam GLC

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali menyokong cadangan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei supaya ahli parti itu yang berpotensi diserapkan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata mereka yang berpotensi perlu diberi peluang kerana idea-idea yang dilontarkan mungkin dapat membantu menyumbang kepada ekonomi negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Mengapa tidak beri peluang kepada mereka dalam memberikan pandangan dan idea-idea baru. Kita sudah beri tempoh yang agak lama kepada pimpinan di dalam GLC dan juga PBT sebelum ini untuk memahami dasar-dasar perjuangan Pakatan Rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, Sabtu.

Shuhaimi dalam sesi perbahasan usul di konvensyen tersebut mencadangkan supaya ahli-ahli parti itu yang mahir dalam bidang organisasi diserapkan dalam mana-mana GLC khususnya di Selangor dengan di bawah pemantauan Menteri Besar.

"Salah satu usaha adalah untuk melatih anggota-anggota parti yang mahir dalam bidang organisasi dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertanggungjawab memantau mereka.

"Kerajaan Selangor kena pertimbangkan ahli-ahli PKR, bukan saja di Selangor tetapi di seluruh negeri yang berpotensi untuk diangkat dan diserapkan dalam mana-mana GLC," kata Shuhaimi.

Bagaimanapun, Azmin berkata cadangan itu ada kalanya disalah tafsir segelintir pimpinan Pakatan Rakyat yang melihat tindakan itu sebagai usaha untuk merebut kontrak, wang dan juga kuasa.

"Bagi mereka yang menerima hakikat bahawa kita ada pendekatan baru, kita tidak ada masalah. Tetapi kalau ada beberapa individu yang cuba sabotaj pentadbiran kerajaan negeri, maka kita menuntut kerajaan negeri juga kena tegas kerana mandat yang diperolehi itu mandat besar," katanya.

Azmin berkata, sebagai sebuah parti yang diasaskan berdasarkan prinsip reformasi, kerajaan yang dibentuk juga tidak boleh terbawa-bawa dengan cara lama, pendekatan lama, pentadbiran lama dan kumpulan yang lama.

"Rakyat beri mandat supaya kita buat reformasi, jadi tidak ada birokrasi, tetapi yang ada ketelusan dan keterbukaan," katanya.

Artikel Lain