suria

Plat Kenderaan W.Persekutuan Yang Baru Bermula Dengan 'W1A'

PUTRAJAYA: Plat pendaftaran kenderaan yang baru bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bermula dengan “W1A”.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengumumkan perkara itu pada Khamis berkata, siri baru berkenaan akan bermula sebaik sahaja siri “WYY” berakhir.

“Pada masa ini, siri nombor adalah “WYK6xxx” dan terdapat lebih 13 siri sebelum kita mencapai “WYY”.

“Kami menjangkakan plat pendaftaran akhir bagi WYY9999 akan diambil pada Julai ini,” katanya selepas taklimat oleh para pegawai kanan kementerian itu di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawai dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Ismail Ahmad.

Hishammuddin berkata, siri “W1A” akan berakhir dengan “W9999A”.

Mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam taklimat tetapi beliau belum bersedia untuk mengulas lanjut.

“Saya baru sahaja memasuki (kementerian) dan tidak akan menyegerakan kesemuanya.

“Terdapat isu-isu lain yang perlu diselesaikan dengan beberapa tumpuan, keputusan Kabinet dan perbincangan dengan pihak ketiga,” katanya.

Artikel Lain