suria

Kerajaan Tidak Campur Tangan Dalam Penahanan Anggota Pembangkang, Aktivis - Muhyiddin

Muhyiddin (kiri) berucap pada majlis perbincangan dan taklimat dalam rangka lawatan kerja beliau ke Pulau Phuket, Thailand pada Khamis. Turut hadir Gabenor Phuket, Maitri Inthusut. - fotoBERNAMA
Muhyiddin (kiri) berucap pada majlis perbincangan dan taklimat dalam rangka lawatan kerja beliau ke Pulau Phuket, Thailand pada Khamis. Turut hadir Gabenor Phuket, Maitri Inthusut. - fotoBERNAMA
Muhyiddin (kiri) berucap pada majlis perbincangan dan taklimat dalam rangka lawatan kerja beliau ke Pulau Phuket, Thailand pada Khamis. Turut hadir Gabenor Phuket, Maitri Inthusut. - fotoBERNAMA

PHUKET: Kerajaan tidak campur dalam penahanan beberapa anggota pembangkang dan aktivis pada Khamis kerana ia di bawah bidang kuasa polis sepenuhnya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata polis tentunya mempunyai asas kukuh untuk mengambil tindakan berkenaan bersandarkan kepada bukti mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kita tidak mahu campurinya kerana mereka (polis) dapati ada asas kukuh untuk reman penama berkenaan kerana dikatakan telah langgar peraturan.

"Apabila sudah sahih dan cukup buktinya, terserah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan kerana sejak kebelakangan ini rakyat rasa cukup bimbang kalau tidak ada tindakan tegas diambil, tidak kira siapa yang lakukannya," katanya ketika diminta mengulas penahanan Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis Haris Ibrahim dan anggota PAS Tamrin Ghafar di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan pelancongan di Phuket oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TTA) di sini Khamis, Muhyiddin sambil menolak penahanan itu mempunyai kaitan politik, percaya tindakan polis itu adalah untuk memastikan tidak timbul sebarang masalah serta huru hara dalam negara.

Katanya keamanan negara tidak boleh dibiarkan digugat oleh pihak yang berpendapat mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja jika melakukan perkara yang boleh menyemarakkan perasaan permusuhan atau membangkitkan perasaan tidak baik dalam kalangan rakyat.

"....pihak polis mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak berlaku huru-hara, bukan kerana soal politik tetapi demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara," katanya.

Mengenai kemungkinan penahanan tersebut akan dijadikan modal politik pembangkang, Muhyiddin berkata polis tidak perlu gentar jika tindakan mereka dibuat atas dasar bahan bukti yang mereka anggap mencukupi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

"Apa yang penting ialah rakyat mahu melihat ketegasan pihak berkuasa bertindak kerana menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara," katanya.

Mengenai tindakan pembangkang yang berterusan mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Muhyiddin mengingatkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan 'undang-undang rimba' sebaliknya wujud undang-undang masyarakat sivil yang digubal untuk kesejahteraan negara termasuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Ditanya apakah tindakan tegas sedemikian mampu menghentikan rancangan pembangkang untuk meneruskan siri demonstrasi haram bagi tujuan mencetuskan suasana tidak tenteram, Muhyiddin berkata pihak berkenaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya perlu hormati suara demokrasi.

"Apa yang rakyat hendak lihat sekarang ialah Barisan Nasional (BN) menunaikan segala khidmat kepada rakyat dan pembangkang boleh mencuba nasib mereka sama ada diterima majoriti rakyat atau tidak pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Hadir sama pada taklimat tersebut ialah Gabenor Phuket Mitrai Inthusut dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Taiyab. - BERNAMA

Artikel Lain