Kementerian Pelajaran Kini Dikenali Kementerian Pendidikan - Muhyiddin - Semasa | mStar

Kementerian Pelajaran Kini Dikenali Kementerian Pendidikan - Muhyiddin

PHUKET: Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Beliau, yang juga Menteri Pendidikan berkata, perubahan nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lepas setelah pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.

“Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga telah beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baru, malah nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau berkata, proses penggabungan dua kementerian - Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi - yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan telah bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.

Muhyiddin berkata, penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.

“Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan 'Ministry of Education'.

Beliau berkata, walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.

Muhyiddin berkata sebagai contoh, koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan melibatkan perubahan kepada dasar tertentu.

Muhyiddin berkata, proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.

“Itu sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu orang bukan Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.

“Persoalan besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah...jadi sebelum kita nak buat keputusan yang melibatkan dasar kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

KDN Rampas Akhbar Tabloid Pembangkang

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain