suria

Dua Pasangan Suami Isteri Antara 68 Warga Asing Ditahan Imigresen Melaka

ALOR GAJAH: Seramai 68 warga asing termasuk dua pasangan suami isteri ditahan Jabatan Imigresen Melaka atas pelbagai kesalahan di dua lokasi di negeri itu. Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di kawasan Perindustrian Kelemak di sini kira-kira 11 malam tadi, dua pasangan suami isteri warga Myanmar berusia 30-an ditahan di dua unit rumah yang dijadikan kedai makan dan menjual barangan runcit.

Beliau berkata seramai 18 lagi warga asing turut ditahan di kawasan pangsapuri tersebut dalam operasi melibatkan 45 anggota Jabatan Imigresen itu.

"Operasi melalui risikan selama seminggu ini berikutan aduan orang ramai terhadap gangguan bunyi bising dan pergaduhan yang sering berlaku di kalangan warga asing di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Kamalludin berkata dalam serbuan kedua di kawasan rumah kongsi di Paya Rumput Perdana, Melaka Tengah di sini kira-kira 1 pagi, 46 warga asing berusia antara 21 hingga 43 tahun ditahan.

Katanya warga asing dari Indonesia, Pakistan dan Nepal itu didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa, menyalah guna pas serta masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit atau pas sah. -BERNAMA

Artikel Lain