suria

PKR Akan Fail 27 Petisyen Terhadap Keputusan PRU-13

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memfailkan 27 petisyen terhadap keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di mahkamah setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan PRU13 pada 5 Mei, pada Rabu.

Naib Presiden PKR Tian Chua pada Khamis berkata petisyen itu, yang melibatkan keputusan PRU-13 secara umum serta beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), akan difailkan dalam masa terdekat.

"Kita akan mengkordinasikan proses memfailkan petisyen itu dengan anggota pakatan kita yang lain, DAP dan PAS," katanya kepada BERNAMA.

Pada Rabu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata berikutan pewartaan keputusan pilihan raya itu, calon dan parti politik yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mempunyai tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen atau bantahan mulai hari ini.

Abdul Aziz berkata petisyen boleh difailkan di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.

PKR memenangi 30 daripada 89 kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13. - BERNAMA

Artikel Lain