suria

'Majoriti Senyap' Rakyat Tidak Setuju Himpunan 505 - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, 'majoriti senyap' di kalangan rakyat tidak bersetuju dengan penganjuran Himpunan 505 oleh pihak pembangkang di Dataran Petaling Jaya pada Sabtu ini kerana ia tidak mengikut Akta Perhimpunan Aman.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut sekiranya ia hanya akan menimbulkan kekacauan.

"Jadilah warganegara yang baik dan akuilah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) serta peraturan yang ada sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Jangan melakukan kekacauan kerana 'majoriti senyap' di kalangan rakyat tidak bersetuju dengan tindakan mereka (penganjur). Jika ada yang masih berdegil, mereka harus 'membayar dengan harga yang mahal' (tindakan tegas) jika tindakan dilakukan oleh pihak polis," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Himpunan 505 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Petaling Jaya pada Sabtu ini walaupun telah diberi amaran supaya pihak penganjur tidak meneruskan acara berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, tindakan pihak polis sudah pun dimaklumkan lebih awal sekiranya terdapat rancangan untuk mengadakan perhimpunan yang bukan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

"Saya telah memberi kuasa sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) untuk menguatkuasakan undang-undang dan saya harap pelaksanaannya dilakukan tanpa campur tangan saya.

"Saya (juga) harap mereka (penganjur) tidak akan 'membayar sebarang harga' maka hentikan perhimpunan itu. Dan jika mereka mahu meneruskan juga, tunggulah 'harga yang mereka terpaksa bayar sendiri'," tegas Ahmad Zahid.

Artikel Lain