suria

Tiada Kenaikan Harga Barangan Di Kelantan

KOTA BARU: Tidak berlaku kenaikan harga barangan terkawal di Kelantan seperti digembar-gemburkan di laman sosial, demikian menurut Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan.

Pengarahnya Sharuddin Jali berkata dakwaan mengenai kenaikan harga barangan oleh pihak tertentu sama sekali tidak berasas.

"Pihak kami sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa dan setakat ini tiada sebarang kenaikan harga barangan dilaporkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.

Sharuddin berkata kerjasama daripada pengguna amat penting untuk sama-sama memantau dan membuat aduan kepada pihaknya berhubung sebarang isu kenaikan harga.

"Kami minta agar pihak di luar sana tidak sewenang-wenangnya menyebarkan mengenai kenaikan harga dan sekiranya ada kenaikan harga, pengguna boleh membuat aduan," katanya.

Menurutnya, aduan kepada KPDNKK boleh dibuat melalui talian hotline 1-800-886-800. - BERNAMA

Artikel Lain