suria

Tahanan Mati Akibat Sakit Dada

KUALA LUMPUR: Seorang tahanan mati selepas mengadu sesak nafas di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur malam Selasa.

Lelaki itu mengadu sakit dada kira-kira 9 malam sebelum dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapat rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

Beliau berkata, tahanan berusia 32 tahun itu adalah salah seorang daripada empat suspek yang ditahan berhubung kes tembak di Bandar Tun Razak, Cheras pada 11 Mei lepas.

Mayat lelaki itu dibedah siasat di HKL, katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Dalam perkembangan lain, Ku berkata, polis menyambung tempoh reman suspek kedua yang ditahan berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim bulan lalu.

"Tempoh reman disambung sehingga Isnin ini dan kesnya dijangka mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan," katanya.

Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April lepas. - BERNAMA

Artikel Lain