suria

RCI: Warga Asing Berhutang Dengan Kerajaan RM21.6 Juta Untuk Kos Perubatan

KOTA KINABALU: Warganegara asing berhutang RM21.67 juta bagi kos rawatan perubatan di Sabah sejak 2007 hingga 2012, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diberitahu pada Selasa.

Ketua Penolong Pengarah Kesihatan (Kawalan Penyakit Berjangkit) Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Maria Suleiman berkata jumlah hutang itu membabitkan kos rawatan perubatan kepada 42,092 warga asing daripada beberapa negara yang majoritinya dari Filipina dan Indonesia dalam tempoh lima tahun.

Dr Maria berkata jumlah RM21.67 juta itu sepatutnya dibayar oleh warga asing itu selepas mereka selesai menjalani rawatan perubatan di hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.

"Kutipan memang sepatutnya dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Sabah, bagaimanapun ketika diminta bayaran mereka tidak membayar. Apabila pihak Jabatan Kesihatan merujuk bayaran itu kepada alamat yang diberi oleh pesakit ketika mendaftar, mereka tiada di alamat tersebut, bila telefon, nombor yang diberikan tidak dapat dihubungi," katanya.

Saksi ke-75 itu berkata jumlah kos rawatan itu memang banyak berbanding jumlah RM7,723,839.23 yang sepatutnya dibayar rakyat tempatan di negeri ini dalam tempoh yang sama.

Dr Maria berkata jabatan itu juga membelanjakan RM200,000 pada 2011 bagi mengawal penyakit berjangkit di dua petempatan sementara di Kinabatangan dan Beluran bagi warga Filipina.

Ketika ditanya pegawai pengendali Datuk Azmi Arifin, saksi itu berkata antara tahun 2000 hingga 2011 seramai 1.3 juta iaitu 53.41 peratus warga asing mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital di Sabah.

Dr Maria juga berkata sejumlah 295,053 orang warga asing dalam tempoh 10 tahun itu mendapat rawatan sebagai pesakit dalam iaitu pesakit yang dimasukkan ke dalam wad.

Membacakan statistik dari Jabatan Kesihatan Sabah itu, Dr Maria berkata di klinik kesihatan di seluruh negeri ini pula seramai 327,302 orang pesakit luar warga asing mendapat rawatan manakala ibu mengandung pula seramai 491,071 dan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun seramai 472,452 dari 2000 hingga 2011.

Dr Maria yang berkhidmat di jabatan itu selama 22 tahun juga berkata seramai 122,882 kelahiran warga asing direkodkan jabatan itu pada tempoh sama.

Beliau berkata warga Indonesia yang paling ramai mendapatkan rawatan pesakit luar dan dalam di hospital antara 2010 dan 2011 iaitu 54,283 berbanding warga Filipina 45,790 orang.

Kepada soalan Azmi, saksi itu berkata jumlah pesakit warga asing yang ramai ini amat membimbangkan dan mendatangkan pelbagai masalah kepada Jabatan Kesihatan Sabah.

"Jumlah pesakit yang ramai ini amat membimbangkan selain membebankan kami (Jabatan Kesihatan Sabah). Kos rawatan juga meningkat. Ia juga membebankan kami kerana kami kekurangan doktor dan jururawat bagi merawat mereka," katanya.

Beliau berkata jumlah katil juga tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit sehingga pihak hospital terpaksa memasang katil sementara.

Selain itu katanya kebanjiran warga asing ini juga mengundang pelbagai jenis penyakit berjangkit antaranya campak, taun dan hepititis B.

Ditanya apakah dokumen yang warga asing itu bawa semasa mendapatkan rawatan, saksi itu berkata mereka mengemukakan pasport, permit kerja, IMM13 iaitu resit pengenalan sementara tetapi kebanyakan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Menjawab soalan peguam pemerhati daripada Persatuan Undang-Undang Sabah John Sikayun mengapa hospital masih memberikan rawatan kepada warga asing sama yang tidak membayar kos, Maria menegaskan sebagai doktor, pihaknya tidak akan menolak pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

Beliau berkata jika hospital tidak memberikan rawatan ketika itu, pesakit akan bertambah sakit dan kos rawatannya pula meningkat.

Terdahulu, Suruhanjaya itu juga diberitahu bahawa kerajaan membelanjakan RM614,355 bagi menanggung kos pengurusan tahanan juvana pendatang asing sejak 2007 hingga 2012.

Timbalan Penguasa Penjara Kota Kinabalu Kalbin Mohd Said memberitahu bahawa jumlah itu merupakan kos purata pengurusan tahanan juvana dari Filipina dan Indonesia di Sekolah Henry Gurney Keningau yang menempatkan juvana lelaki dan di Sekolah Henry Gurney Wanita Kota Kinabalu.

Saksi ke-62 yang dipanggil semula itu berkata bagi Sekolah Henry Gurney Keningau, kos keseluruhan bagi menanggung juvana itu dalam tempoh berkenaan ialah RM566,115 manakala di Sekolah Henry Gurney Wanita pula sebanyak RM48,180.

"Kos itu meliputi makanan, rawatan perubatan, tempat tinggal, pakaian, elektrik, air dan program-progam pemulihan bagi tahun 2007 hingga Oktober 2012," katanya pada prosiding RCI bagi menyiasat pendatang asing di Sabah.

Beliau berkata kos pengurusan itu bagi menanggung seramai 47 juvana lelaki dan 80 juvana wanita berumur antara 14 hingga 21 tahun.

Bagi juvana tempatan pula, Kalbin berkata seramai 861 ialah lelaki manakala 76 wanita yang ditempatkan di Sekolah Henry Gurney sejak 2006 hingga Oktober 2012.

"Mereka ditahan di situ atas beberapa kesalahan antaranya di bawah Akta Dadah Berbahaya, kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api dan kesalahan lain,' katanya.

Beliau juga berkata sepanjang tempoh itu, tiada kematian direkodkan oleh juvana warganegara asing dan juvana warganegara Malaysia.

"Mereka juga diberikan program berbentuk akademik, vokasional dan industri," katanya.

Beliau menjelaskan apabila tempoh tahanan bagi rakyat tempatan tamat, mereka akan dibebaskan tanpa syarat manakala warga asing pula dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran.

Prosiding di hadapan lima anggota panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong itu bersambung esok.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping. -BERNAMA

Artikel Lain