suria

Pelantikan Menteri Pertahanan Satu Penghormatan, Akan Utamakan Esscom - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan yang baru, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pelantikannya untuk menerajui kementerian itu merupakan satu penghormatan buat dirinya kerana ia melibatkan rakyat dan keselamatan negara.

Katanya, walaupun baru dilantik menerajui kementerian itu, ia bukanlah satu kementerian asing bagi dirinya yang sebelum ini memegang portfolio sebagai menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Ia satu penghormatan bagi saya secara peribadi untuk memimpin kementerian ini.

"Saya yakin dengan mereka, yang bukannya asing bagi saya pun, dan saya percaya apa yang akan dilakukan untuk orang ramai dan untuk negara akan dapat dilaksana," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan yang diadakan untuk beliau dan timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri di Dataran Wisma Pertahanan, dekat sini, Rabu.

Menurut Hishammuddin, beliau telah pun diberi taklimat mengenai kementerian barunya.

Malah, beliau turut diberi taklimat mengenai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang memperlihatkan kerjasama erat kementerian dengan KDN.

Tegasnya, beliau secara peribadi akan memberi keutamaan terhadap janji-janji kepada rakyat Sabah dengan pelaksanaan Esscom.

"Apa yang telah kita janji kepada rakyat Sabah terhadap Esscom akan menjadi keutamaan.

"Antara saya dan Datuk Zahid (Menteri Dalam Negeri yang baru) pun daripada awal lagi memahami keadaan di sana (Sabah)," katanya.

Selain berjanji akan memberi lebih penekanan terhadap aspek keselamatan negara secara keseluruhan, beliau juga akan memastikan kebajikan setiap anggota di bawah kementerian dijaga.

"Kalau rakyat didahulukan mereka (anggota) juga adalah rakyat dan ini dekat dengan perjuangan dan pendirian peribadi saya sejak di KDN lagi.

"Tapi yang penting 'core business' (perniagaan teras) kita adalah keselamatan dan kita kena meneliti dan mengharunginya dengan baik serta memahami ancaman dan cara menanganinya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keperluan sokongan daripada setiap lapisan masyarakat dan pucuk pimpinan terhadap kementerian dan pasukan tentera demi memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Artikel Lain