suria

Mahathir, Khatami Minta OIC Kaji Secara Mendalam Perpecahan Antara Puak Sunnah, Syiah

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas presiden Iran Mohammad Khatami pada Rabu meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membentuk sebuah pasukan petugas bagi mengkaji secara mendalam perpecahan yang berlaku antara puak Sunnah dan Syiah.

Dalam rayuan bersama yang bertujuan menamatkan keganasan dan pertumpahan darah antara kedua-dua puak itu, dua pemimpin terkemuka tersebut berkata pasukan petugas berkenaan mungkin dapat mengemukakan cadangan konkrit untuk diambil tindakan oleh para pemimpin ummah dan politik berhubung perkara itu.

Dr Mahathir berkata hasrat beliau adalah semata-mata untuk melihat keganasan dan pertumpahan yang berlaku antara puak itu, dihentikan.

"Saya tak ada agenda yang terlalu besar seperti untuk menyatukan umat Islam kerana saya berpendapat tugas itu boleh diserahkan kepada orang lain. Tapi, biar apapun perkara yang menjadi perselisihan antara mereka, janganlah sampai membunuh satu sama lain," katanya kepada pemberita sebelum melancarkan Rayuan Bersama itu, yang dibuat untuk julung kalinya oleh dua negarawan terbabit di bangunan Yayasan Keamanan Global di sini.

Khatami diwakili penasihat khasnya Dr Ali Khosroo, manakala presiden International Movement for a Just World (JUST) Dr Chandra Muzaffar juga turut hadir pada sidang akhbar itu.

Rayuan Bersama itu, yang akan disiar secara dalam talian dalam lima bahasa - Melayu, Inggeris, Arab, Urdu dan Perancis, antara lain mengandungi rayuan kepada individu dan kumpulan masyarakat sivil yang prihatin dari seluruh dunia supaya bersama-sama menyertai usaha tersebut.

Dr Mahathir, yang komited untuk menamatkan sengketa antara dua puak itu, berkata umat Islam, tanpa mengira mazhab dan doktrin, perlu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan perdamaian.

"Bagaimanapun, ketika ini, kita tidak boleh mendakwa demikian apabila kita berperang sesama sendiri. Atas sebab inilah saya sependapat dengan Dr Khatami, seorang pengikut Syiah, membuat rayuan ini kepada saudara seagama kita, tidak kira daripada puak Sunnah atau Syiah, agar kita sekurang-kurangnya dapat hidup bersama secara aman dan bersama-sama menangani bahaya yang sedang kita hadapi," katanya.

Ditanya tentang kemungkinan terdapat peranan pihak ketiga yang menyebabkan tercetusnya perbalahan antara dua puak berkenaan, Dr Mahathir berkata bukti wujudnya perkara itu memang ada.

"Sebab ia memenuhi tujuan mereka, mereka tidak perlu membunuh kita, kitalah yang berbunuh-bunuhan sesama sendiri, jadi mereka mendapat segala keuntungannya kerana kita menjalankan tugas itu untuk mereka. Kita jugalah yang rugi jika kita menjadikan keadaan ini lebih parah," katanya.

Sementara itu, dalam mesejnya melalui video, Khatami berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa permusuhan antara puak Sunnah dan Syiah telah mencemarkan imej dan maruah umat Islam di mata dunia.

"Ia jelas sekali melemahkan umat Islam. Ia menjadikan kita lebih terdedah kepada manipulasi dan rancangan jahat anasir luar yang berazam untuk menggugat perpaduan serta integriti ummah," katanya.

Sambil mengalu-alukan usaha dua pemimpin dari negara pengikut Sunnah dan Syiah itu, Dr Chandra berkata inilah kali pertana dua pemimpin utama dunia Islam kontemporari itu, tampil secara bersama.

"Idea mengenai rayuan ini tercetus dalam satu perbualan pada Mei 2011 ketika saya bertemu Dr Khatami di Iran. Saya mengemukakan cadangan tentang rayuan ini kepada beliau dan Tun M juga memberi sokongan kuat terhadap idea ini. Ia (rayuan berkenaan) terhasil daripada keikhlasan dan komitmen dua tokoh hebat ini," katanya.

Dr Chandra berkata satu seminar dan bengkel berhubung perkara itu akan diadakan tidak lama lagi, yang akan disertai puak Sunnah dan Syiah. - BERNAMA

Artikel Lain