suria

KPN Janji Garis Strategi Drastik Tangani Jenayah Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berjanji akan menggariskan strategi drastik dalam membanteras jenayah dan mengurangkan indeks jenayah di seluruh negara.

Beliau berkata strategi itu akan digariskan secara berperingkat bagi mengurangkan kegusaran masyarakat umum terhadap kejadian jenayah di seluruh negara.

"Mengurangkan jenayah dan mengurangkan ketakutan orang ramai terhadap jenayah adalah antara tiga cabaran yang dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa kini. Kami komited untuk memfokuskan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara pertamanya bersama media selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar di sini, hari ini. Khalid, 55, menggantikan Ismail, 60, yang tamat kontraknya Jumaat lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2012 pada Mac lepas berkata PDRM berjaya mengurangkan indeks jenayah sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Najib turut menggariskan GTP fasa kedua bagi menjayakan misi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah, yang bermula dari 2013 hingga 2015.

Usaha NKRA memperlihatkan kejayaan mendadak sejak 2009 apabila langkah membanteras jenayah PDRM membawa Malaysia diiktiraf sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-19 di dunia seperti dilapor Indeks Keamanan Global (GPI).

Khalid berjanji akan menggembleng segala sumber PDRM untuk mengurangkan kadar jenayah termasuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan iaitu tentera, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam melalui Strategi Nasional Lautan Biru.

Beliau berkata polis juga akan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membanteras dan mencegah jenayah secara holistik termasuk dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Selain menangani jenayah, Khalid menggariskan dua lagi cabaran PDRM yang perlu ditanganinya iaitu perubahan pendekatan polis dalam ketenteraman awam dengan menghormati hak asasi manusia dan meningkatkan lagi integriti polis.

Beliau berkata polis menghormati soal hak asasi manusia dan mengambil pelbagai pendekatan ke arah itu seperti pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Namun semua pihak juga perlu faham, bagi menjamin ketenteraman awam lancar di negara ini setiap hak asasi itu mempunyai had dan tidak boleh dilampaui," katanya sambil menegaskan semua pihak harus menghormati undang-undang negara bagi memastikan ketenteraman terpelihara.

Mengenai langkah meningkatkan integriti PDRM, beliau berkata peranan Jabatan Tatatertib akan diperbesarkan lagi dan kerjasama lebih rapat akan dijalankan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Integriti Penguatkuasa Malaysia dan agensi kerajaan iaitu Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

"Kerjasama ini untuk mencari keadah yang terbaik bagi menjamin integriti setiap anggota polis," katanya.

Beliau juga berkata satu pemeriksaan integriti secara berkala akan diadakan ke atas setiap warga polis bagi memastikan mereka bersih daripada gejala rasuah. - BERNAMA

Artikel Lain