suria

Kes Dadah: Mahkamah Tinggi Perintah Saiful Apek, Tiga Pekerja Bela Diri

SHAH ALAM: Pelakon dan pelawak terkenal Saiful Apek bersama tiga pekerjanya diperintah membela diri atas pertuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membebaskan mereka daripada pertuduhan pada Jun tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Abdul Alim berkata beliau cuba melihat kerompongan dalam kes pendakwaan namun semuanya mempunyai penjelasan.

"Ujian air kencing keempat-empat tertuduh juga positif, jadi bagaimana mahkamah boleh katakan bahawa pegawai yang menjalankan ujian air kencing itu berbohong?

"Manusia lakukan kesilapan, dan menghisap dadah pun satu kesilapan. Mahkamah mementingkan keadilan, jadi saya ketepikan semua perintah Majistret dan kesemua responden diperintah membela diri dalam kes ini di Mahkamah Majistret yang sama," katanya.

Abdul Alim menetapkan Isnin ini untuk sebutan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pada 25 Jun tahun lepas, Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membebaskan Saiful Apek, 44, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff dan tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu Productions iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Keempat-empat tertuduh, yang diwakili peguam Mohd Fadly Hashim, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad. - BERNAMA

Artikel Lain