suria

Buruh Ditahan Simpan Senapang Angin

BESUT: Seorang lelaki ditahan apabila polis menemui selaras senapang angin buatan sendiri bersama peluru bebola besi di rumahnya di Kampung Gong Ubi Keling, Kampung Raja di sini Isnin.

Pemeriksaan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Besut di rumah itu pada mulanya dibuat bagi mengesan dadah berikutan maklumat yang diterima daripada pihak awam.

Bagaimanapun, pemeriksaan pada pukul 6.45 petang itu tidak menemui sebarang dadah sebaliknya polis menemui senapang angin dan tiga biji peluru bebola besi, kata Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria.

Beliau berkata siasatan awal terhadap lelaki berusia 20 tahun itu mendapati senjata itu adalah miliknya yang diguna untuk memburu burung.

Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kini direman untuk siasatan lanjut, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman setahun penjara atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Artikel Lain