suria

Sindiket Bomoh Warga China Tumpas

IPOH: Sindiket 'bomoh' dari kalangan warga China yang dipercayai terlibat dalam 23 kes penipuan di negeri ini melibatkan kerugian RM1 juta tumpas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata mereka yang terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berumur antara 45 hingga 51 tahun ditahan di sebuah bilik hotel di Kulim, Kedah pada Jumaat lepas.

"Dalam serbuan pada pukul 3.30 pagi itu polis merampas wang tunai dan barang kemas yang diserahkan mangsa kepaad mereka antaranya wang tunai sebanyak RM3,270, enam utas gelang, 14 bentuk cincin dan dua rantai leher," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Isnin.

Beliau berkata sindiket itu yang bergiat aktif sejak tiga tahun lepas dipercayai menawarkan perkhidmatan membuang malang atau nasib buruk.

Kes terbaru dilapor berlaku di Pekan Langkap, Hilir Perak pada 23 April lepas.

Mohd Shukri berkata tiga daripada suspek baharu pertama kali masuk ke negara ini sementara yang lain memasuki lebih daripada sekali.

Kesemua mereka direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain