suria

Penggunaan Gari Bertepatan SOP Polis - OCPD Sentul

KUALA LUMPUR: Penggunaan gari merupakan prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia ke atas semua tangkapan atau tahanan kecuali bagi pesalah juvana.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan dalam satu kenyataan berkata setiap tahanan akan sentiasa digari apabila dibawa keluar daripada lokap tempat tahanan atas sebab-sebab keselamatan dan Adam Adli Abdul Halim adalah tidak terkecuali dalam hal ini.

Beliau mengulas berhubung gambar Adam Adli dalam keadaan bergari yang telah tersebar luas melalui media sosial.

Adam Adli merupakan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang digantung pengajian kerana menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam satu demonstrasi 17 Disember lepas.

Dia ditahan di kawasan Bangsar pada 18 Mei lalu.

"Polis Kuala Lumpur menafikan gambar tersebut dirakam di Lokap Berpusat Kuala Lumpur Jinjang," kata Zakaria.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus membuat sebarang spekulasi ke atas rakaman gambar tersebut kerana ia boleh menimbulkan kemudaratan kepada kestabilan negara. -BERNAMA

Artikel Lain