suria

Malaysia Suarakan Kebimbangan Tindakan Terbaru Korea Utara Lancar Misil

KUALA LUMPUR: Malaysia pada Selasa menyuarakan kebimbangannya berhubung tindakan Korea Utara melancarkan misil jangka sederhana pada 18 dan 19 Mei yang menyemarakkan lagi suasana tegang di Semenanjung Korea.

Sejajar dengan itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Malaysia menyertai masyarakat antarabangsa menyeru Korea Utara supaya mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), termasuk Kenyataan Presiden UNSC bertarikh 16 April 2012.

"Malaysia menyeru semua pihak terbabit supaya mewujudkan suasana kondusif ke arah mengadakan dialog dan rundingan di peringkat dua hala dan pelbagai hala, demi mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan di Semenanjung Korea dan rantau ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, kata beliau, Malaysia menyokong penuh saranan Korea Selatan agar dialog dengan Korea Utara segera diadakan.

Agensi berita Korea Selatan Yonhap melaporkan Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengesan Korea Utara melancarkan beberapa misil jangka sederhana pada hujung minggu lepas.

Ia ditembak ke arah timur laut kawasan perairan Korea Selatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain