suria

Gara-Gara Ugut Cederakan Bapa, Anak Dipenjara 12 Bulan

KOTA BAHARU: Seorang anak yang mengugut mencederakan bapanya dengan paip besi minggu lepas, akhirnya menerima padah apabila dihukum penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa.

Nik Kamal Ab Rahman, 29, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad, yang memerintahkan hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditahan 16 Mei lepas.

Mengikut pertuduhan, Nik Kamal didakwa mengugut mahu mencederakan Ab Rahman Mat Junoh, 56, dengan menghayun sebatang paip besi di sebuah rumah tanpa nombor di sini pada 7.30 petang, 16 Mei lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nik Kamal tanpa diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya dengan mengambil kira usianya yang masih muda.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan jenayah ugut membabitkan anggota keluarga. -BERNAMA

Artikel Lain