suria

Tujuh Termasuk Dua Wanita Didakwa Edar Heroin Di Sebuah Hotel

KUALA LUMPUR: Tujuh individu termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar 144.69 gram heroin di sebuah hotel di Jalan Raja Muda Abdul Aziz pada 7 Mei lepas.

Azizul Azril Abdul Aziz, 30, Nor Diannah Abd Samad, 35, Meor Shaiful Bahari Ramli, 36, Mohd Shamsuddin Shariff, 60, S.Shanmugan, 44, P.Yugenthiran, 31, dan Zurina Abd Rashid, 39, didakwa melakukan kesalahan itu pada 10.45 malam.

Semua tertuduh tidak bekerja kecuali Azizul Azril seorang pelayan kedai makan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan dicatat semasa pertuduhan terhadap mereka dibaca di depan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin, yang menetapkan 19 Julai ini untuk sebutan kes.

Mereka juga didakwa memiliki 14.5 gram methamphetamine dan 4.07 gram bahan disyaki cannabis pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang masing-masing membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan sebatan, serta penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor E.Chandra manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain