suria

Tiga Maut, Dua Cedera Parah Kereta Bertembung Lori Di Kuala Kubu Baharu

KUALA LUMPUR: Tiga pemuda terbunuh apabila kereta yang dinaiki bersama seorang lagi rakan bertembung sebuah lori di Kilometer 7.9 Jalan Hamzah, Kuala Kubu Baharu dekat sini, Isnin.

Pemandu kereta Honda Civic Muhammad Hilal Mohd Isa, 19, dan penumpang depan Omar Hamzah Zulkifli, 19, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan 10.50 pagi itu.

"Muhammad Addin Firdaus Rashidi, 19, yang duduk di bahagian belakang mengalami cedera parah dan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Baharu," kata Ketua Polis Daerah Superintendan Norel Azmi Yahya ketika dihubungi.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Seorang lagi penumpang kereta Honda Civic berkenaan Mohamad Nazren Kamisan, 29, dan pemandu lori Sivasalagaram Narayanan, 34, cedera parah dan masih dirawat di hospital yang sama, katanya.

Norel Azmi berkata ketika kemalangan, kereta dinaiki empat pemuda itu menuju ke Kuala Kubu Baharu dan dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung lori dari arah bertentangan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain