suria

Imigresen Pulau Pinang Tahan 43 Warga Asing Tanpa Permit Sah

BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 43 warga asing termasuk dua wanita dalam dua operasi di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) pada Isnin.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri Basri Othman berkata operasi di bawah Program 6P (Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran) itu bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang.

"Dalam serbuan pertama di kilang rotan, Kampung Selamat, Tasek Gelugor kita berjaya menahan tujuh lelaki warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah.

"Pada serbuan kedua di kawasan tapak pembinaan di Bertam, Kepala Batas pihak kami berjaya menahan 36 pendatang iaitu 32 warga Myanmar, dua warga Bangladesh dan dua wanita Indonesia," katanya kepada pemberita.

Basri berkata kesemua warga asing berusia antara 20 dan 35 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(4) 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Basri turut menasihatkan majikan agar tidak menggaji pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

"Bagi majikan yang didapati bersalah melindungi pekerja warga asing ini akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 56 (1) (d) iaitu boleh didenda sebanyak RM5,000 bagi seorang pekerja jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain