suria

Black 505: Biar Kami Urus Dengan Polis - Rafizi

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menegaskan agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu campur tangan urusan profesional polis dalam menangani perhimpunan ajuran pembangkang di seluruh negara membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sebaliknya Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berkata, Ahmad Zahid sepatutnya memberi tumpuan kepada dakwaan penipuan proses pilihan raya oleh Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya ingin nasihatkan agar Datuk Zahid jangan campur tangan urusan profesional polis. Polis tahu apa yang mereka buat dan biar mereka uruskan.

"Setakat ini kami sudah bekerjasama baik dengan pihak polis termasuk mematuhi arahan supaya menukar lokasi perhimpunan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid yang dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan tidak akan memberi sebarang amaran kepada mana-mana pihak yang bercadang mencetuskan huru-hara sebaliknya akan terus bertindak secara tegas.

Tegas Ahmad Zahid, tiada sebarang kompromi dengan pihak tertentu khususnya pemimpin pembangkang yang sedang menghasut rakyat turun ke jalanan bagi mencetus rusuhan sekali gus menjayakan hasrat menggulingkan BN.

Mohd Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR menegaskan bahawa pembangkang akan meneruskan perhimpunan yang dikenali sebagai 'Black 505' di Kedah, Terengganu dan Melaka minggu ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain