suria

Pembalakan Haram Di Semenanjung Terkawal

IPOH: Kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan simpanan kekal di Semenanjung masih dalam keadaan terkawal, kata Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung, Datuk Dr Abd Rahman Abd Rahim.

Peratusannya sangat kecil iaitu tidak sampai satu peratus daripada 4.7 juta hektar kawasan hutan simpanan kekal di Semenanjung dicemari aktiviti pembalakan haram, katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari RTM ke-67, Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Telekomunikasi Sedunia peringkat negeri Perak di sini, Ahad.

Majlis anjuran bersama Jabatan Perhutanan Perak, RTM Perak dan Telekom Malaysia Berhad itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Abd Rahman berkata terdapat 5.6 juta hektar hutan di Semenanjung yang merangkumi hutan simpanan kekal, hutan tanah kerajaan dan hutan tanah bermilik.

"Hutan yang diuruskan Jabatan Perhutanan ialah hutan simpanan kekal manakala hutan tanah kerajaan dan hutan tanah bermilik adalah di luar bidang kuasa kita," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah melancarkan kempen "One Citizen, One Tree" pada tahun 2010 dengan sasaran menanam 26 juta pokok menjelang 2014.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan setakat ini sebanyak 10.9 juta pokok telah ditanam di Perak.

Terdahulu, Zambry dalam ucapannya berkata kerajaan negeri mensasarkan untuk menanam satu juta pokok dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kalau kita boleh tanam dua atau tiga juta pokok dalam tempoh itu adalah lebih baik," katanya. Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Pengarah RTM Perak Kham Siah Hindon Md Said. BERNAMA

Artikel Lain