suria

Singapura Sahkan Ghani Tidak Lakukan Kesalahan

SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura menjelaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman tidak melakukan sebarang kesalahan semasa beliau melawat republik itu semasa tempoh berkempen bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Menjawab soalan media dan berhubung satu laporan polis dibuat terhadap Abdul Ghani yang didakwa merayu undi di Singapura pada 2 Mei, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan berikut:

"Pasukan Polis Singapura mengesahkan satu laporan dibuat berhubung lawatan Encik Ghani ke Singapura pada 2 Mei, 2013. Penilaian polis ialah bahawa tiada kesalahan diperlihatkan daripada laporan itu.

"Tindakan yang dirujuk dalam laporan itu seperti tiba di Singapura, bersarapan atau bercakap kepada pemberita tidak menjadi satu kesalahan.

"Dalam kes Encik Ghani, didapati tidak berkempen, walaupun beberapa anggota pasukannya memakai kemeja kempen.

"Kementerian Luar telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura bahawa aktiviti berkempen oleh orang asing tidak dibenarkan di Singapura.

"Pastinya, memakai kemeja kempen oleh beberapa anggota pasukan Encik Ghani di Singapura semasa tempoh pilihan raya umum Malaysia boleh disalah anggap dan kes seumpama itu tidak harus berulang."

Abdul Ghani, calon Barisan Nasional (BN) kalah kepada ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor pada PRU13, 5 Mei lepas. BERNAMA

Artikel Lain