suria

Seorang Lagi Ditahan Kes Bunuh TKP Kastam

KUALA LUMPUR: Seorang lagi lelaki ditahan di ibu negara jam 2 petang semalam berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Kastam, Datuk Sharuddin Ibrahim di Putrajaya, 26 April lalu.

Suspek yang berusia 37 tahun dan bekerja sebagai pengimport alat ganti kenderaan dipercayai mempunyai maklumat yang boleh membantu polis mengenal pasti motif sebenar pembunuhan itu.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada Rabu.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapat permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan," katanya.

Pada Ahad lepas, polis menahan reman selama seminggu sehingga Sabtu ini, seorang lelaki berusia 56 tahun di Petaling Jaya, Selangor.

Shaharuddin mati ditembak dua lelaki bermotosikal semasa beliau dalam perjalanan ke pejabatnya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan.

Artikel Lain