suria

Saksi Tak Nampak Kanak-Kanak Berbangsa Cina Turun Dari Kereta

PETALING JAYA: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner pada Rabu beliau tidak nampak seorang kanak-kanak berbangsa Cina berusia lingkungan enam hingga tujuh tahun turun dari sebuah kereta berdekatan kedai barangan eletrik Ongking di Putra Heights, Januari lepas.

Peniaga burger, Shah Zaril Azri Abdul Hamid, 29, juga berkata beliau tidak nampak mana-mana individu menghampiri kereta milik kanak-kanak itu pada malam William Yau Zhen Zhong dilapor hilang iaitu 16 Jan lepas.

"Pada malam itu, saya tidak nampak kelibat kanak-kanak turun dari kereta, saya juga tidak mendengar jeritan suara budak atau jeritan orang meminta tolong kerana bunyi radio yang kuat dipasang di kedai Ongking," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt, yang membantu Koroner Mohd Hezri Shaharil dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian William.

Mayat William, 6, ditemui 24 Jan lepas di Jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilapor hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di kedai barangan elektrik.

Shah Zaril, yang menjual burger di sebelah kedai eletrik itu, berkata beliau mengetahui William hilang selepas bapa kanak-kanak itu, Yau Kok Kang, 33, datang ke kedainya untuk bertanya berkaitan anak lelakinya.

"Malam itu pada pukul 8.30 malam, bapa kanak-kanak itu datang bertanya kepada saya ada tak nampak seorang budak berjalan dekat kedai tempat saya berniaga, saya kata tidak nampak," katanya sambil menambah beliau dimaklumkan William memakai baju oren kekuningan pada hari itu.

Ditanya riak wajah Yau, saksi ke-15 inkues itu berkata lelaki berkenaan kelihatan resah dan kelam kabut manakala ibu William, Goh Ying Ying, 26, yang berada dalam kereta, dilihat sedang menangis.

Sementara itu, pekerja kedai Ongking, Mohd Lazim Abd Ghani, 38, berkata pada hari kejadian, beliau sempat melayan ibu William yang ingin membeli mesin basuh.

Bagaimanapun, Mohd Lazim berkata beliau tidak nampak kelibat kanak-kanak masuk ke kedai itu atau berkeliaran di luar premis.

Seorang lagi pekerja Ongking, Beah Chin Hing, 33, pula berkata sejurus diberitahu kehilangan William daripada bapanya, beliau dan seorang rakan turut membantu mencari kanak-kanak itu di sekitar Putra Heights.

Saksi ke-17 itu berkata bagaimanapun, beliau gagal menemui William selepas berusaha mencarinya selama 40 minit.

Prosiding inkues bersambung 28 Mei ini. - BERNAMA

Artikel Lain